005

header ads

SELAMAT BELAYAR, ABAH!



Ketika aku mendapat khabar pemergiannya, aku tidak tahu mau cakap apa. Mulutku bungkam. Seketika aku membaca komen teman-teman di medsos. Masing-masing mendoakan, semoga perjalanannya ke negeri abadi dirahmati Tuhan.

Dalam diam aku mengucapkan doa: Inna lillahi wa Inna ilayhi rajiun. Al-Fatihah. Seperti biasa ucapan doa kepada saudara seagama oleh semua Muslim di seluruh dunia. Di Nusantara doa ini biasa diucapkan.

Untuk menandakan hari berpulangnya dia, aku ketik kata-kata ini di dinding facebookku: insan yang banyak mendukung program sastera di Nusantara telah pergi belayar kepangkuan Ilahi. Salam Takziah buat keluarganya.

Pada tahun pertama program Ramah-Tamah di Tanah Merah, Singapore bukan kali pertama aku ketemu dia. Pertama kali aku ketemu diay di Beaufort, Sabah, program Mahrajan. Aku lupa tahun bila. Orangnya pendiam. Bila aku sampai ke Singapore aku terus ke resort. Tambah teksi, kita tahulah mahal murahnya.

Dia ketika itu sendirian. Selepas dia menjawap salamku, dia bertanya, "bila sampai," ketika aku mula duduk di kerusi putih di hadapannya. "Makan. Jauh tu kamu terbang. Aku pernah ke tempat kamu tu."

Aku lihat dia sendirian. Aku teruskan makan. Menghabiskan telur rebus bersambal. Entah masak apa. Tapi sedap. Percakapan kami terputus ketika seorang teman yang tiba dari Jakarta memberi salam. Perkataan terakhir yang sempat aku cakap pasal namaku yang bunyinya orang barat selepas bertanya. Dia angguk dan senyum.

Dia sering diiringi oleh isterinya yang suka masak didapur, yang juga suka memarahiku. Tapi aku suka marahnya itu. Marah-marah seorang ibu, begitulah. Dia kalau bukan duduk di depan meja makan, dia duduk di kerusi panjang. Pada malam itu, aku tidur di belakang kerusi itu. Dia tidur di atasnya.

Begitu dia pendiam, masih juga dia melayan karenah anak-anak puisi yang datang berkunjung ke situ. Daripada cerita sastera, puntung rokok, puisi, cerpen dan tahanan di imigresen semuanya dia dengar. Walau topic apa pun yang diceritakan di situ, dia tetap senyum. Kadang-kadang komen juga, "biasalah tu," katanya.

Aku tidak tahu mau panggil dia apa. Segan juga mau panggil nama, sebab nama pun tidak tahu. Mau panggil pakcik pun macam tidak selesa. Panggil tuan pun sama juga. Aku biarkan begitu saja sehingga aku dengar dari isterinya: "Abah ada di dalam tu. Di meja. Pergilah makan sekali." Mula daripada detik itu, aku memanggilnya, Abah. Bagiku itulah panggilan paling terhormat.

Daripada hari itu sehingga dia dijemput pulang baru-baru ini masih aku kenali sebagai Abah. Sama seperti hari-hari kami bersama di rumah resort itu ketika anak-anak puisi yang lain sudah kembali ke kampung masing-masing. Aku tidak pulang awal. Ada dua tiga orang yang tinggal. Tapi kami sudah pindah ke sebelah. Suaranya tetap jua lembut dan senyuman tidak pernah tinggal.

Dan senyuman itulah yang meninggalkan kesan dalam sanubariku sampai ke hari ini. Seandai saja aku pelukis yang pandai, aku sudah lukiskan senyumannya itu seperti pelangi melintang di kaki langit, di awan menunggu senja jatuh ke malam.

Segalanya tidak akan bermula jika tidak ada pengakhir untuk ke sebuah cerita yang lagi indah buat manusia seperti Hji Jumadi Safar, yang aku kenali sebagai, Abah, terima kasih. Damailah kau di sana, senyummu kekal menjadi lukisan dalam hatiku. Salam kasilasa (kasih sayang) buatmu dan isterimu, yang sehingga ke hari ini, bunyi suara Bunda Anie Din, masih kekal menjadi semboyan sastera di Nusantara! Selamat belayar, Abah!

Sekali lagi aku ucapkan doa: Inna lillahi wa Inna ilayhi rajiun. Al-Fatihah.

Cintailah kedamaian. Belayar sama-sama. Layag Sug!

Nelson Dino 
Sandakan, Sabah, Malaysia 
29 Januari 2020