Puisi : MAKHLUK TANPA EHSAN | Rosnizan Saad
Dua tahun yang lalu, kamu hadir bertamu di setiap perbatasan
Sedikit demi sedikit bertebaran umpama angin santau memeritkan
Tanpa isyarat mahupun amaran
Kau datang meranapkan segunung impian
Wahai Covid mengapa kudratmu begitu kencang
Mengapa sihirmu begitu lantang
Tidakkah kamu merasa belas kasihan
Melihat marhen kehilangan penghidupan
Apa kau tidak ada rasa
Apa kau hilang budi bicara
Apa kau ketandusan belas sesama
Apa kau sudah kering jiwa mahkota
Goncangan mu menggegarkan seantero kota
Hentaman mu meluruhkan binaan paksi ekonomi dunia
Gigitan mu menusuk racun bisa kesakitan manusia
Tamparan mu meranapkan struktur sosial dan budaya
Pengakhiran tersungkurnya sebuah kenikmatan alam fana
Wahai Covid
Tidakkah kau melihat seorang anak kehilangan ibu dan ayah
Tidakkah kau melihat ibu ayah meratap kesengsaraan sang anak
Tidakkah kau melihat hancurnya rantaian kehidupan dari kelompok ke kendiri
Tidakkan kau melihat kemiskinan mula melingkari
Tidakkan kau melihat hilangnya jati diri menjadi penentang hukum
Kolonasi mu sungguh licik wahai sang Covid
Menjajah setiap pelusuk lembah dan negeri
Bergelar musuh manusiawi..
Dari Wuhan ke Nusantara, Eropah dan Hindi
Penjajahan mu belum berhenti..
Mencipta varian baru setiap hari
Membunuh jiwa tidak terperi
Biarpun vaksin mu tercipta sebagai ganti
Namun bajingan mu masih belum tergari
Oh Covid..
Besar harapan penghuni alam
Melihat kau hilang ditelan zaman
Dikubur lenyap tidak bertulang
Tidak tersisa walau sekuman
Dunia aman tidak lagi berperang
Dengan dirimu yang kabur tidak kelihatan
Semoga impian menjadi kenyataan
Dalam rahmat ehsan Tuhan
BIODATA PENULIS:
Nama: Rosnizan Saad
Rosnizan Saad dilahirkan di Kuala Terengganu, Malaysia dan sekarang bertugas sebagai seorang guru di sekolah menengah di Batu Pahat Johor. Beliau memiliki Sarjana Pendidikan dari Universiti Teknologi Malaysia. Penulis aktif melibatkan diri dalam pelbagai program penulisan seperti penulisan puisi dan cerpen yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat penerbitan dan institusi-institusi pendidikan di Malaysia dan Indonesia. Penulis turut bergiat dalam penulisan jurnal dan pembentangan kertas kerja seminar dalam bidang pendidikan yang dianjurkan oleh Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
0 Komentar
Andai bisa klaim Honor untuk karya puisi dan cerpen yang tayang sejak 1 April 2024