005

header ads

PUISI: MOHD SAIFULAH ABD RAHIM | 24 JUNI 2024

 GARIS-GARIS DI CANGKIR EMAK


ceritera di muka cangkir

perih emak berkucupan

di matanya berpancar garis ---

      bicara dari asa kerahmatan


garis lengkung pada temulang

terbeban ampuh seuncang kasih 

bancuhan manis kedewasaan


garis putus-putus kejernihan

tersembunyi kopi suratan

merahsiakan busa-busa nubari


usia yang masih berlinang

tercoret garis berlingkar di wajah,

kudrat senja berbisik sayup pada bulan ---

      "pinjamkan cerlang garis beralun itu

       agar terus likat memayungi

       di mimbar waktu”



Saifullah Abd Rahim

Kuala Kangsar, Perak

Malaysia







KETIDAKUPAYAAN TERSEMBUNYI (I)

 

Cantik bersulam kebaya nyonya, 

Berkain batik menumpang perahu; 

Nampak tipikal pada zahirnya, 

Ciri tersembunyi tak siapa tahu. 


Berhias indah kain organza, 

Digubah pereka jadi busana; 

Dunia indah spektrum berbeza, 

Hadirnya mereka perlulah cakna. 


Mempelai berarak datang bersambut, 

Silat tari santunan sembahan; 

Gaya bertutur tak petah menyebut, 

Intervensi awal rutin pemulihan. 


Sirih pinang berdulang hantaran, 

Mengutus kasih setinggi banjaran; 

Hilang fokus masalah pembelajaran, 

Lambat menangkap isi pengajaran. 


Bersiul burung mengalun puisi, 

Kesuma jiwa madah tersurat; 

Resah gelisah gejala depresi, 

Trauma di jiwa mengundang mudarat.


Saifullah Abd Rahim

Kuala Kangsar, Perak

Malaysia


KETIDAKUPAYAAN TERSEMBUNYI (II)


Semalu berduri tumbuh melata, Bertenggek merbah di anjung rumah; Kekurangan diri bukanlah dipinta, Perancangan Allah pasti berhikmah.


Songket Melaka kelarai bermotif, 

Bunga kesidang corak tenunan; 

Tabiat impulsif juga hiperaktif, 

Simptom khas selami kelainan. 


Tumbuh menjalar pohon seroja, Puteri terpikat lalu memetik; Emosi bipolar fikiran menggila, tangis dan tawa berubah drastik.


Burung tempua membuat sarang, Bersarang tinggi di genting retak; Penyakit epilepsi sawan menyerang. Gangguan saraf pada sistem otak.


Mencari makan di Kota Melaka,

Jamah sarapan bersimpuh sopan;

Jangan disisihkan sesama mereka,

Berilah harapan sinar kehidupan.


Saifullah Abd Rahim

Kuala Kangsar, Perak

Malaysia



MOHD SAIFULAH ABD RAHIM


Seorang guru pendidikan khas lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia. Meminati bidang penulisan kreatif. Keterlibatan antologi puisi dan cerpen : Pendidik Kehidupan, Himpunan Puisi Si Penyu, Secawan Kopi 7, Tarian Tinta 2, Rangkai Kata dan Kompilasi harta Intelek : Warisan Pantun Tiga Serumpun. Karya puisi seperti Di Bawah langit Kurnia, Gurindam kasih Insan Istimewa, Menjahit Carik Di Layar Mata dan Kemilau pernah tersiar di akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia, Harian Ekspres, Wilayahku serta majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya kreatif nukilan beliau turut tersiar di laman facebook Grup Antologi Secawan Kopi, Aktivis Seni & Sastera (AKSARA MALAYSIA) dan laman sesawang kendalian penyair Indonesia iaitu riausastra.com. 





Posting Komentar

0 Komentar